23 December 2008

Sinar Baru Buat keluarga Nurin Jazlin

Misteri pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang belum terungkai lebih setahun lalu menemui ‘sinar’ baru apabila sebuah syarikat swasta tempatan menawarkan sistem teknologi terkini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, sistem itu menggunakan teknologi luar negara dan mampu menghasilkan imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih jelas sekali gus membantu mengenalpasti nombor pendaftaran motosikal milik suspek pembunuhan kanak-kanak perempuan terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata satu mesyuarat membabitkan PDRM dan wakil syarikat berkenaan dijangka diadakan minggu ini untuk membincangkan perkara itu.

“Polis sudah menghantar rakaman CCTV yang diambil sekitar lokasi mayat Nurin ditemui kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) namun sehingga kini masih gagal membantu siasatan.“Ia berikutan imej rakaman CCTV berkenaan agak kabur dan menyukarkan usaha mengecam wajah suspek termasuk nombor pendaftaran motosikal digunakannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Program Merakyatkan Seni Budaya di sini, semalam.Menurut Musa, pihaknya bagaimanapun berharap sistem milik syarikat berkenaan dapat memberi petunjuk baru untuk menyelesaikan kes terbabit.

“Melalui mesyuarat itu, kita akan memutuskan sama ada mahu menggunakan sistem terbabit atau sebaliknya sekali gus membantu polis melengkapkan siasatan,” katanya.

Sementara itu, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 34, ketika dihubungi berkata selain bersyukur, dia adalah orang paling gembira sekiranya sistem berkenaan dapat membantu mengesan sekali gus menahan suspek yang membunuh anak perempuannya itu.

“Bagi saya, sekiranya nombor pendaftaran motosikal berkenaan dapat dicam, ia sudah cukup bagi polis untuk memberkas penjenayah kejam terbabit.

“Selain itu, kami sekeluarga menganggap kematian Kak Ngah (Nurin) terbela selepas sekian lama tidak dimaklumkan sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan,” katanya.

Nurin Jazlin Jazimin, murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, hilang pada 20 Ogos tahun lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat didera secara seksual.

Namun, sehingga kini, lelaki bermotosikal yang dirakamkan CCTV membawa beg sukan dipercayai mengandungi mayat kanak-kanak itu dan meletakkannya di sebuah premis di Taman Petaling Utama, 16 September, gagal dikenal pasti.

1 comment:

Thanks For The Comment..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

its finallly reveal...